(Di petik dari Utusan Malaysia)

Mohd. Yusof Noor ucapkan tahniah kepada Sabri Ahmad di Kuala Lumpur, semalam
KUALA LUMPUR 15 Julai - Bekas Ketua Eksekutif Kumpulan Golden Hope Plantations Bhd., Datuk Sabri Ahmad dilantik sebagai Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd.
Beliau juga merupakan Pengarah Urusan Kumpulan Felda Holdings Bhd. yang baharu.
Pelantikan beliau berkuat kuasa hari ini secara kontrak selama dua tahun bagi menggantikan Datuk Mohd. Bakke Salleh yang akan menjadi peneraju di Sime Darby Bhd.
Pengerusi Felda, Tan Sri Yusof Noor berkata, Sabri dipilih selepas penilaian dan pemilihan teliti dibuat daripada kalangan calon-calon yang disenarai pendek.
Meskipun enggan menyatakan jumlah calon yang disenarai pendek, Yusof secara berseloroh berkata: ''Saya tidak menafikan ramai calon yang berminat untuk menduduki kerusi ini tetapi kita sangat berhati-hati dalam mencari calon yang paling layak dan sesuai''.
''Sabri adalah calon paling sesuai berdasarkan kepakaran, kecekapan serta pengalaman dan pengetahuan luas di sepanjang rantaian nilai industri perladangan terutama dalam industri minyak sawit Malaysia dan luar negara,'' kata pada sidang akhbar untuk mengumumkan pelantikan Sabri.
Katanya, pelantikan Sabri dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Yusof berkata, Felda amat bertuah kerana mendapat pengganti yang berpengalaman luas dalam bidang perladangan.
''Kami berharap beliau dapat memberi sumbangan dan menjalankan tugas dengan baik untuk meneruskan misi yang digariskan oleh Felda,'' menurut beliau.
Yusof menambah, tawaran jawatan berkenaan diserahkan kepada Sabri hanya beberapa hari lalu dan beliau menerima pelantikan itu pada hari ini.
Sementara itu, Sabri ketika mengulas mengenai pelantikannya berterima kasih kepada Felda kerana memberi amanah dan peluang untuk memimpin organisasi tersebut.
Tambahnya, Felda adalah sebuah organisasi yang matang dan beliau hanya akan meneruskan dasar dan projek sedia ada.
''Felda merupakan cerita kejayaan Malaysia, ia mempunyai landasan dan sistem yang kukuh.
''Dan, saya akan menambah baik untuk memperkukuhkan sistem dan projek sedia ada,'' ujar beliau.
No comments:
Post a Comment