Burukkan Felda kini modal pembangkang
ALOR GAJAH 10 Julai - Pihak pembangkang yang ketika ini ketandusan modal politik mula menjadikan Felda sebagai sasaran mereka dengan menyebarkan pembohongan dan mencari keburukan agensi itu demi untuk meraih sokongan peneroka.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, warga Felda merupakan penyokong kuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dan adalah mustahil bagi pihak pembangkang untuk menawan hati mereka tanpa melakukan pembohongan dan memburuk-burukkan Felda.
"Warga Felda kini dianggarkan seramai 1.6 juta orang di seluruh negara dan merupakan kubu kuat pihak kerajaan. Tanpa pembohongan dan menggunakan pelbagai taktik kotor sudah semestinya sukar bagi pembangkang untuk menembusi kubu kerajaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Himpunan Tautan Kasih bersama peneroka di Felda Tun Ghafar Hutan Percha di sini malam tadi.
Menurutnya, Felda telah menabur bakti kepada para peneroka sejak 55 tahun dahulu dengan pembukaan tanah rancangan di seluruh negara dan kini para peneroka khususnya generasi pertama telah menikmati kesenangan dan kemewahan daripadanya.
Katanya, apa yang telah dilakukan Felda selama ini membuktikan agensi itu sentiasa memberi keutamaan kepada peneroka dan keluarga mereka dengan sebaik mungkin.
Mohd. Isa berkata, ketika ini Felda sering berhadapan cabaran dari pihak luar khususnya pembangkang yang cuba memporak-perandakan komuniti peneroka melalui maklumat tidak tepat dengan matlamat memesongkan pemikiran mereka.
"Jangan mudah terpengaruh dan terperangkap dengan penerangan pihak pembangkang kerana mereka hanya mahu memecahkan keyakinan warga Felda bagi mencapai kepentingan peribadi," katanya.
Justeru katanya, pihak pengurusan Felda di peringkat wilayah dan pusat perlu turun padang untuk memberi penjelasan dan penerangan mengenai isu yang dibangkitkan secara berterusan agar peneroka tidak tertipu.
No comments:
Post a Comment