FAKTA 1 : FELDA TELAH MEMBAYAR CUKAI KEPADA
LHDN SEBANYAK RM314.96 JUTA (2004), RM205.99 JUTA
(2005), RM151.94 JUTA (2006), RM186.55 JUTA (2007)
DAN RM443.74 JUTA (2008)

FAKTA 2 : FELDA TELAH MEMBAYAR ZAKAT PERNIAGAAN
SEBANYAK RM5.78 JUTA (2005), RM6.62 JUTA (2006),
RM10.08 JUTA (2007), RM12.77 JUTA (2008) DAN
RM14.92 JUTA (2009)

FAKTA 3 : PENDAPATAN FELDA BUKANLAH DARI PENEROKA
TETAPI DARI 3 SUMBER UTAMA IAITU LADANG TANPA
PENEROKA YG DIURUS SECARA KOMERSIAL, PELABURAN
DAN SUMBER DALAMAN.

FAKTA 4 : FELDA MEMBELANJAKAN UNTUK
PENEROKA SEJUMLAH RM588 JUTA (2007), RM516 JUTA
(2008) DAN RM474 JUTA (2009). INI TIDAK TERMASUK
BELANJA MENGURUS DAN KEMUDAHAN WARGA PENEROKA.



Ingin ku bawa segenggam tanah,
Tanda hatiku berpahat di sanubari,
Usah gentar dengan fitnah,
Andai kita insan yang berbudi.

Pohon sawit berdiri megah,
Takkan tunduk menyembah bumi,
Kukuhnya tunjang tanda ukhuwah,
Itu maknanya peneroka bersatu hati.


TAZKIRAH - AKIBAT SUKA BERBOHONG DALAM CERAMAH

Abul Fath
Muhammad bin Muhammad bin Ali al-Harimi (tahun 514 h) merupakan seorang pemberi kuliah, nasihat dan tazkirah yang sangat sedap penyampaiannya. Namun banyak yang disampaikan itu perkara yang salah dan bohong. Ketika dia hampir mati, dia telah mengerang kesakitan yang amat sangat. Lalu ada yang berkata kepadanya “Berjumpa Allah memang amat sukar.” Lalu as-Safdi berkata:

لا سيما قادم يكذب على الله تعالى وعلى جبريل

“Lebih-lebih lagi orang yang berjumpa Allah itu berbohong atas nama Allah dan Jibril as.”

Ulasan:
Bentuk2 pembohongan yang biasa dalam tazkirah dan kuliah agama yang amat berleluluasa sekarang adalah:
1. Mengeluar hukum sendiri .
2. Berkata dosa dan pahala tanpa dari sumber ulama muktabar.(contohnya dlm surat kabar, ada ustaz kata dosa besar pegang babi)
3. Mentafsirkan ayat atau hadis ikut kefahaman sendiri tanpa merujuk tafsiran ulama muktabar.
4. Menukilkan hukum dengan syak. (cthnya saya rasa, agaknya boleh kot)
5. Menyatakan pandangan agama dalam semua aspek mengikut fikiran sendiri.

Tuesday, June 28, 2011

Apa Sahaja Untuk Tawan Felda Dan Negara

Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, akhbar arus perdana sudah banyak membongkar dan menjelaskan tentang hasrat jahat pembangkang untuk menghancurkan keharmonian Felda dengan berbagai-bagai janji kosong. Di bawah adalah petikan satu artikel menarik untuk di kongsi bersama... :

(Gambar : Pengkhianat yang bercita-cita memusnahkan keharmonian Felda???)


Apa sahaja untuk tawan Felda dan negara

KETIKA perpaduan negara terancam sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menggerakkan gagasan 1Malaysia untuk menyatukan kembali rakyat.

Namun, pembangkang tidak pedulikan semua usaha perpaduan itu dan menolak sama sekali gagasan 1Malaysia.

Lebih teruk lagi, mereka menggunakan taktik penjajah dahulu untuk 'pecah dan perintah' dengan menghasut dan menimbulkan keraguan rakyat terhadap kerajaan.

Sejak beberapa bulan lalu, tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menjadi sasaran pembangkang menggunakan anak peneroka sendiri, Mazlan Aliman melalui Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang dikepalainya.

Mazlan jelas sekali berada di kem pembangkang dan menggunakan tiket selaku ahli jawatankuasa Pas Pusat untuk bergerak di dalam dan luar Felda bagi menghasut peneroka dan rakyat membenci serta tidak mempercayai pengurusan Felda ataupun kerajaan.

Felda diasaskan Perdana Menteri kedua negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan sejak 2004, ia diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dipantau sendiri anak Allahyarham selaku Perdana Menteri keenam.

Fakta ini sebenarnya sudah cukup untuk mematahkan pelbagai tuduhan individu, pertubuhan dan parti politik yang cuba memutar dan memainkan isu untuk menunjukkan pengurusan Felda dan kerajaan menganiaya peneroka dan waris mereka.

Mustahil Perdana Menteri selaku waris kepada tokoh yang melahirkan idea Felda membiarkan usaha dan legasi bapanya itu musnah dengan mudah.

Namun, bagi mereka yang mempunyai agenda sampingan, semua yang diusahakan kerajaan untuk warga Felda boleh dipolitikkan bagi memancing undi menjelang pilihan raya akan datang dengan fokus pembangkang kini bertumpu di kawasan peneroka Pahang dan Negeri Sembilan.

Usaha memecah belahkan peneroka amat penting jika mereka mahu menguasai politik negara terutamanya dengan 56 kawasan Parlimen dan 96 Dewan Undangan Negeri (DUN) bergantung kepada undi warga Felda.

Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling tidak terkejut dengan kaedah yang digunakan di Felda itu kerana taktik sama telah lama dipraktikkan pembangkang untuk menghasut rakyat membenci kerajaan.

"Mereka yang cuba memecah-belahkan warga Felda sebenarnya sanggup melakukan apa sahaja demi mendapat kuasa politik.

"Memang sudah terbukti selama ini pun, pembangkang sanggup memainkan isu yang paling sensitif semata-mata untuk menarik perhatian umum kepada (perjuangan) mereka," katanya.

Menurut beliau, apa yang disasarkan pembangkang dan pihak yang berkomplot dengan mereka adalah untuk menimbulkan kesangsian dan keraguan dalam masyarakat terhadap kepimpinan Felda dan kerajaan.

Tambahnya, taktik serupa digunakan sebelum PRU-12 di mana isu-isu seperti gula, minyak dan hutang negara dimainkan bagi menimbulkan keraguan di fikiran rakyat terutamanya penduduk kampung.

"Orang kampung bukannya tahu banyak mengenai hutang dan rezab negara, mereka lebih mudah menerima sahaja apa yang diceritakan tanpa menganalisis lebih mendalam isu tersebut.

"Dalam Islam juga, kesangsian sudah cukup untuk memecahkan umat. Fitnah mereka akhirnya berjaya menimbulkan keraguan yang membawa kepada bencana pada 2008 kerana tidak ditangani dengan baik oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu," jelasnya.

Dakwa Mohamad Faisol, akhbar pembangkang seperti Harakah juga berjaya menarik perhatian kerana sasaran pembaca mereka adalah kumpulan yang menerima bulat-bulat apa yang ditulis.

"Kerana itu BN dan UMNO tidak boleh ambil mudah taktik pembangkang seperti sebelum 2008 sementara penjelasan perlu diberi kepada rakyat menggunakan fakta sebenar untuk mengelakkan kesangsian.

"Pembangkang tidak perlu menyerang habis-habisan dan sekadar memainkan isu-isu kecil asalkan mampu menimbulkan kesangsian dan menarik perhatian kepada pembangkang. Pengundi sokong atau tidak perkara kedua (asalkan berjaya melemahkan sokongan kepada BN)," tegasnya.

Beliau mengingatkan para pemimpin BN agar tidak mengabaikan kawasan kubu kuat yang kini menjadi sasaran utama pembangkang terutamanya kawasan luar bandar seperti di Perak yang sering diadakan ceramah.

"Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini juga mereka berjaya menimbulkan ketidakselesaan walaupun BN diyakini menang.

"Mereka tahu Felda itu kubu kuat UMNO dan demi mengelakkan diri ditumbangkan serta menambah kuasa politik, mereka akan cuba melemahkan sokongan di mana-mana kawasan kuat BN," ujarnya.

Perdana Menteri sendiri menganggap pihak yang bersekongkol dalam mencapai agenda itu telah melakukan penganiayaan dan ketidakadilan kepada Felda sedangkan budinya cukup besar kepada golongan bumiputera untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan.

Hakikatnya di sini, tindakan sekumpulan manusia yang kelihatan tidak bersyukur ini juga bukannya membantu sebaliknya semakin menjejaskan pandangan rakyat terhadap 112,653 keluarga peneroka dan anak cucu mereka.

Cubaan memecah belahkan warga peneroka dan waris itu juga memperjudikan nasib beribu-ribu kakitangan dan pekerja ladang Felda dan tidak berbaloi semata-mata demi habuan politik masing-masing.

Pemerhati politik, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling pula berpendapat tindakan pembangkang di tanah rancangan Felda kini diambil berikutan mereka sudah berhadapan dengan keadaan yang terdesak.

Jelasnya, pembangkang berusaha keras untuk melahirkan pelbagai persoalan dan kacau-bilau di dalam negara yang jelas untuk pesongkan perhatian rakyat daripada masalah dalaman mereka terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kepemimpinannya.

"Ada golongan yang bergerak menimbulkan kacau-bilau melalui perhimpunan haram Bersih (di Kuala Lumpur), ada untuk nadir bumi (di Kuantan) dan ada juga untuk tanah rancangan Felda.

"Masalahnya, pembangkang tidak dapat yakinkan rakyat mengenai keupayaan mereka mentadbir dan membangunkan negara sedangkan negeri-negeri sendiri tidak dapat dibuat pembangunan," katanya.

Oleh itu jelasnya, pelbagai tomahan dan fitnah dilontar bagi melindungi diri mereka daripada dipersoal rakyat tentang janji-janji pilihan raya sebelum ini yang tidak dapat dipenuhi.

"Nasihat ulama Islam, satu hari fitnah (kacau-bilau dan huru-hara) adalah lebih buruk daripada 1,000 tahun kesan pemerintahan yang tegas.

"Seluruh warga Malaysia diseru agar gunakan pemikiran waras dan rasional untuk menilai dan menimbang keupayaan dan kebolehan pembangkang memajukan negara.

"Sedangkan mereka sanggup gunakan institusi terbilang dan cemerlang seperti Felda untuk melencongkan kemajuannya, akhirnya akan merugikan para peneroka dan waris mereka sahaja," tegasnya.

Beliau menasihatkan rakyat dan warga Felda mengambil iktibar akibat yang amat buruk di dunia Arab kini terutama di Mesir dan Tunisia selepas mereka 'berjaya' menggulingkan kerajaan masing-masing.

"Mereka sekarang menghadapi masalah lebih besar dan buruk dengan ketiadaan pendapatan negara dan pekerjaan. Ramai rakyat yang menganggur dan mula menghadapi masalah kebuluran," dakwanya.

Oleh itu, rakyat dan warga Felda perlu menilai sebaik-baiknya apa yang cuba dilakukan pihak yang cuba memecah-belahkan 'keluarga' mereka kerana nyata segala itu ada agenda di sebaliknya.

Janganlah mudah tertipu dengan pelbagai fitnah dan janji tanpa melihat yang tersirat terutamanya bila melibatkan kuasa dan kekayaan yang sejak azali menjadi kelemahan manusia yang tamak haloba.


Felda Mangsa 'Hentam Keromo'

Ikuti artikel yang sangat menarik ini :

Felda mangsa 'hentam keromo'

MANA tidaknya pembangkang tidak 'kebuloq' dengan Felda. Tanah rancangan paling berjaya di dunia itu dengan kapasiti 317 kawasan kini berada di dalam 56 kawasan Parlimen - kira-kira seperempat daripada 222 kerusi Parlimen atau 96 kawasan Dewan Undangan Negeri.

Felda sekarang tidak lagi diberi bantuan satu senpun oleh kerajaan. Sebabnya agensi kerajaan itu sudah boleh berdikari dan terbaru, mengeluarkan pula bajet untuk tahun ini sekitar RM1.6 bilion. Ia hasil dari tanah yang dilitupi kelapa sawit seluas 341,000 hektar.

Dengan semasa ini dihuni oleh 112,635 keluarga dan 1.6 juta generasi baru selain menjadi sumber rezeki 23,000 pekerja tetap dan 60,000 pekerja ladang, Felda adalah usaha pembangunan tanah dan pemilikan ladang terbesar di arena antarabangsa sejak ditubuhkan 55 tahun lalu.

Banyak kejayaan diraih Felda. Antara yang masih segar ialah ia merupakan pengeluar gula utama negara dengan menguasai 70 peratus kepentingan dalam Malayan Sugar Manufacturing Co. yang dimiliki jutawan Tan Sri Robert Kuok. Felda juga memiliki pusat bioteknologi terbesar di Nilai dengan mengeluarkan klon-klon kelapa sawit baru yang bagus. Felda turut mengeluarkan elektrik daripada Biomas iaitu bahan-bahan buangan sawit.

Jadi, tidak hairanlah mengapa pembangkang begitu 'kepingin benor' mahu merampas kawasan pilihan raya Felda. Tidak senang duduk mereka sehingga suatu ketika diuar-uarkan Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di kerusi DUN Kerdau awal tahun ini. Untunglah Tuan Ibrahim tidak bersaing sebagai calon Pas, kalau tidak malulah dia mahu 'mencanang' lagi isu Felda di Jengka bersama Mazlan Aliman, pengerusi Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda SeMalaysia (Anak). Di Kerdau - kubu kuat Felda - tempoh hari, Pas kalah di semua saluran mengundi kepada BN.

Rentetan kemajuan Felda tadi antara lain mengukuhkan lagi amaran yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis lalu tentang cubaan pembangkang memecahbelahkan masyarakat peneroka yang tidak lebih daripada permainan politik untuk meraih undi.

Dalam soal ini, pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk mendakwa Felda bankrap sedangkan hakikatnya tidak begitu. Terbaru, pembangkang mahu hapuskan Felda Plantation dan tanah berkenaan diberi kepada anak-anak peneroka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia di Putrajaya semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan memberitahu, ada banyak sebab mengapa kegelojohan pembangkang mahu menjual Felda Plantation dan seterusnya mengagih-agihkan tanah seluas 341,000 hektar itu kepada anak-anak peneroka atau generasi baru Felda perlu diperjelaskan menerusi fakta dan kerasionalannya. Bukannya mengikut emosi semata-mata.

"Tanah 341,000 hektar ini merupakan tanah bebas hak milik Felda iaitu tidak ada sekatan untuk dijual. Ini berbeza dengan status tanah 10 ekar kebun, suku ekar tapak rumah selain rumah asal yang diberikan kepada 112,635 keluarga peneroka yang tidak boleh dijual.

"Bayangkan, kalau anak-anak peneroka dapat tanah itu, ini bukanlah satu tuduhan tapi analogi, bayangkan kalau ada segelintir yang tidak bertanggungjawab... dapat sahaja tanah itu hari ini, esok dijualnya.

"Jadi, habislah tanah Melayu ini dan DAP sukalah. Dan kalaulah dibahagikan 1.6 juta anak peneroka ini dengan 314,000 hektar tanah ini, maka seorang hanya dapat seekar sahaja. Tanah ini ada di merata pelosok negara dengan kebanyakannya tidak ada prasarana seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya. Macam mana hendak dibangunkan," kata beliau yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda.

Ahmad turut mendedahkan: "Lagipun daripada 314,000 hektar ini, 100,000 hektar terletak di Sabah. Macam mana nak bangunkan tanah orang Sabah, takkan kita nak kacau tanah orang Sabah. Kalau di Semenanjung pun, kedudukan tanah-tanah ini di tepi hutan di Pahang dan Negeri Sembilan, payah hendak dibangunkan kalau tidak ada modal," katanya.

Tapi malangnya, kata Ahmad, pembangkang tidak kisah semua itu. Malah, desakan supaya dijual Felda Plantation dijadikan salah satu daripada 10 agenda 'Buku Jingga' mereka.

"Seeloknya 'Buku Jingga' ini dibuang dalam longkang sahaja," tegasnya.

Ahmad menarik perhatian meskipun Felda Plantation merupakan satu daripada 88 anak syarikat Felda, ia sebenarnya penyumbang terbesar pendapatan Felda - yang bergerak dan menjana keuntungan di bawah satu kumpulan - menerusi ladang kelapa sawitnya.

"Bajet Felda RM1.6 bilion inilah yang digunakan untuk membayar duit raya, bonus dan khairat kematian keluarga peneroka. Bajet inilah juga digunakan untuk membayar gaji 23,000 pekerja Felda dan 60,000 pekerja ladang.

"Juga, inilah belanja untuk mendirikan dewan orang ramai, gelanggang futsal, memberi pinjaman untuk membaikpulih rumah dan kepada usahawan Felda. Jika mahu dijual Felda Plantation ini dan kemudian diagih-agihkan tanah kepada generasi baru, apa lagi yang tinggal, pembangkang kemudian bolehlah lepas tanganlah dan salahkan kerajaan pula," katanya.

Malah, beliau percaya, tidak mungkin keluarga peneroka tidak mahu memikirkan nasib 23,000 pekerja Felda dan 60,000 pekerja ladang tadi.

"Saya tidak fikir peneroka akan tamak sebegitu sekali, mereka tentu ada 'hati perut' yang tidak sama dengan pembangkang," katanya.

Felda sejak kebelakangan ini menjadi 'sepak terajang' pembangkang sehinggakan ia dihina dengan bermacam-macam gelaran yang tidak manis didendangkan oleh orang Melayu sendiri iaitu Pas. Antaranya seperti 'Stok Penimbal BN', lemah iman, kemaruk dengan harta benda dan mentaliti mundur.

Macamlah keluarga Felda tidak ada perasaan - tidak kecil hati dan tidak pula meluat dengan gelaran yang dilemparkan oleh parti yang dulunya konon memperjuangkan negara Islam tetapi kini negara kebajikan - yang entah apa hendak dikebajikannya pula.

"Ketika Pas dan suku sakatnya, PKR dan DAP sibuk membuat ceramah, BN mengatur program untuk manfaat keluarga dan anak-anak Felda.

"Salah satunya untuk anak-anak peneroka seperti menyediakan gelanggang futsal terbuka. Sebahagian 117 sudah siap dan 200 lagi tanah rancangan akan dilengkapi gelanggang yang menelan kos RM100,000 setiap satu ini menjelang akhir tahun," katanya.

Mazlan hakikatnya gagal sejak awal lagi untuk meraih sokongan keluarga Felda apabila tewas di dalam perebutan kerusi Parlimen Bera pada Pilihan Raya Umum 2008 di tangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Kemudian dia gagal lagi di Kerdau ketika berganding dengan Tuan Ibrahim untuk memenangkan calon Pas di sana.

Kini, setelah menang AJK Pas Pusat, dia dengan angkuhnya bergerak lagi 'memporakperandakan' Felda yang kemajuannya diiktiraf dunia hasil titik peluh dan keringat peneroka Felda.

Bak kata Perdana Menteri: "Ini soal politik, kalau pembangkang gagal menghasut masyarakat Felda, mereka takut tidak dapat menguasai kerusi DUN dan Parlimen. Jadi, untuk menghakis sokongan terhadap BN, mereka akan lakukan apa sahaja cara dengan menyerang Felda."

Bagi Ahmad, beliau hanya meminta keluarga peneroka merenung satu perkara:

"Apa salah Felda, Felda tidak ambil duit orang kampung...Felda ambil duit sendiri (hasil keuntungan dan kerja kerasnya).

"Tapi sayangnya pembangkang tetap nak kacau, kacau dan kacau keluarga peneroka ini.

"Tapi, saya percaya berkat sokongan keluarga dan generasi baru Felda kepada BN, sokongan mereka tetap dikira 'A', lebih-lebih lagi dengan banyaknya lagi kemajuan yang ditempa Felda akhir-akhir ini."

Monday, June 27, 2011

Felda Sedang Menuju Kejayaan... Lihatlah Nanti

Sebab mengapa serangan bertubi-tubi oleh pembangkang terhadap Felda akan di dedahkan tidak lama lagi di mahkamah. Insyaallah kebenaran akan dapat kita lihat dan rakyat terutamanya peneroka akan tahu apakah niat sebenar pembangkang memburukkan Felda.

Lihat berita terkini di Utusan :

Saman Felda: Permohonan Wan Azizah ditolak

27/06/2011 12:27pm

KUALA LUMPUR 27 Jun – Permohonan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail bersama tiga lagi defendan untuk menggabungkan saman Felda terhadap mereka dengan saman Felda terhadap bekas Timbalan Menteri Tanah, Pembangunan Koperasi, Dr. Tan Kee Kwong ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditolak dengan kos RM2,000.

Permohonan itu dibuat dengan alasan kedua-duanya membabitkan isu dan fakta yang sama selain mahu menjimatkan masa.

Hakim Datuk John Louis O’hara menolak permohonan peguam N.Surendran yang mewakili defendan selepas mendengar hujahan beliau dan peguam-peguam yang mewakili Felda, Datuk Mahinder Singh Dulku dan Datuk Firoz Ahmad Jamaluddin. - Utusan

Friday, June 24, 2011

Usaha Jahat Pembangkang Terhadap Felda

Sekiranya kita kaji serangan terhadap Felda sejak beberapa tahun ini, kita dapat melihat usaha-usaha secara terancang telah dilakukan oleh pembangkang terutamanya PAS. Serangan ini di ketuai oleh Saudara Mazlan Aliman dan selepas beliau memperolehi undi tertinggi semasa pemilihan, sudah pasti semangat beliau akan lebih berkobar-kobar untuk melaksanakan tugas jahat ini.

AJF pasti, serangan terhadap Felda akan di pertingkatkan menjelang PRU ke 13 nanti. AJF akan mengupas di artikel akan datang berkaitan perkara ini... Baca artikel di Utusan Malaysia hari ini.

Cemar Felda untuk raih undi

KUALA LUMPUR 23 Jun - Cubaan pembangkang memecah-belahkan masyarakat peneroka tidak lebih daripada permainan politik bagi meraih undi sekali gus memecah kubu kuat Barisan Nasional (BN) di tanah-tanah rancangan Felda.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha pembangkang itu akan menemui kegagalan kerana pelbagai dakwaan terhadap pengurusan Felda sebelum ini tidak berasas.

"Saya rasa pembangkang telah melakukan penganiayaan dan ketidakadilan kepada Felda apabila dituduh sebegitu kerana budinya (Felda) cukup besar terutama kepada golongan bumiputera.

"Felda telah membela nasib seramai 112,653 keluarga peneroka dan anak cucu mereka untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai pelbagai tohmahan dan usaha dilakukan pembangkang untuk mencemar nama baik, kemajuan serta kejayaan yang dicapai Felda sejak ditubuhkan 55 tahun lalu.

Menurut Najib, pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk mendakwa Felda bankrap sedangkan hakikatnya ia tuduhan palsu yang sengaja direka-reka untuk mendapat tempat dalam kalangan peneroka.

"Ini soal politik, kalau pembangkang gagal menghasut masyarakat Felda, mereka takut tidak dapat menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau kawasan Parlimen.

"Jadi, untuk menghakis sokongan terhadap BN, mereka akan lakukan pelbagai cara dengan menyerang Felda yang menjadi tunggak kekuatan BN selama ini," katanya.

Beliau berkata, kejayaan Felda pada masa depan bergantung kepada peneroka dan untuk meneruskan kelangsungannya, peneroka perlu mempertahankan organisasi pembangunan tanah paling berjaya di dunia itu.

Perdana Menteri turut menggesa supaya wakil rakyat BN di peringkat DUN dan Parlimen di kawasan Felda menjadi pembela kepada isu-isu yang cuba diputarbelitkan oleh pembangkang.

Dalam pada itu, beliau optimis dalam tempoh sembilan tahun menjelang 2020, Felda bukan lagi hanya membantu peneroka malah, menjadi entiti penting dalam menjana kekayaan negara.