Kebimbangan masyarakat peneroka terhadap apa yang berlaku semakin di perjelaskan oleh kerajaan. Kerajaan dan Felda sedang turun ke Tanah-tanah Rancangan untuk memperjelaskan senario terkini apa yang berlaku di dalam Felda :
Insentif, aset peneroka tak terjejas
PEKAN 13 Nov. - Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia menjelang pertengahan tahun depan tidak akan melenyapkan segala insentif yang diterima para peneroka selama ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa perkara itu bukan sahaja tidak berlaku, malah lebih banyak faedah bakal diperoleh peneroka menerusi penyenaraian itu.
"Saya memberi jaminan ini kerana timbul kebimbangan kalangan segelintir peneroka berhubung isu penyenaraian tersebut.
"Saya tegaskan, tanah milik mereka tidak akan terjejas sedikit pun malah mereka juga akan tetap menerima duit raya, bonus dan dividen Koperasi Permodalan Felda (KPF) seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Semai Bakti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di Felda Chini 2, di sini hari ini.
Menurut Ahmad, Felda kini memiliki tanah ladang seluas 860,000 hektar iaitu 500,000 hektar milik peneroka manakala selebihnya diuruskan oleh anak syarikatnya, Felda Plantation Sdn. Bhd. (FPSB). "Justeru, kita hanya melibatkan tanah ladang milik Felda yang diuruskan FPSB iaitu seluas 360,000 hektar melalui kaedah pajakan kepada beberapa pemegang pajakan.
"Melalui kaedah ini, kita tidak akan kehilangan tanah tetapi mengaut hasil atau keuntungan berganda," jelasnya. Bagaimanapun, katanya, kaedah pajakan tersebut masih dalam penelitian terperinci. "Ini belum keputusan akhir dan masih di peringkat penelitian dan perbincangan, kita masih ada masa sebelum penyenaraian pertengahan tahun depan.
"Kerajaan sentiasa menimbang segala tindakan yang akan dilakukan bagi memastikan kepentingan peneroka, Felda dan negara tidak terjejas," ujarnya.Dalam pada itu, Ahmad menasihati para peneroka agar menggunakan saluran yang betul untuk menjelaskan kekeliruan berhubung penyenaraian tersebut.
"Kita sedia menjawab dan merungkaikan kekeliruan mereka dan jangan sesekali berhubung dengan pembangkang berhubung isu tersebut. "Setakat ini saya menerima maklum balas yang baik daripada sebahagian besar peneroka dan mereka menyambut baik usaha itu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment