Ramai peneroka sedar tentang apa yang sedang di lakukan oleh ANAK di Tanah-Tanah Rancangan seluruh negara. ANAK yang di ketuai oleh Saudara Mazlan Aliman telah menabur bermacam-macam janji kepada peneroka dan juga generasi muda Felda.
Janji-janji ini nampaknya baik tetapi sebenarnya mempunyai niat maksud yang jahat dan boleh membinasakan Felda. Ikuti luahan aduan anak peneroka dari Pahang ini... Sebab itu, Mazlan Aliman perlu di "NYAH" kan dari Felda.
Jangan terpedaya janji palsu
SETELAH 54 tahun negara merdeka, peneroka Felda kini wajar bersyukur dengan limpahan rezeki yang dikurniakan Allah. Bermula detik penghijrahan mereka melalui episod derita, kini mereka telah bangkit meneroka tanah dan ladang dengan bantuan dan perhatian yang penuh oleh kakitangan Felda.
Kebangkitan ini adalah berkat usaha kegigihan dan kesungguhan para peneroka melawan kemiskinan agar anak-anak tidak mewarisi kemiskinan seperti mereka dahulu. Lantaran itu, saya sebagai seorang anak peneroka Felda ingin menyentuh mengenai isu pemansuhan Felda Plantantions oleh Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan juga pembahagian tanah andainya mereka berjaya menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Secara umum saya memuji niat murni ANAK yang ingin membantu kami anak peneroka memiliki tanah seperti ayahanda kami yang diberi 10 ekar tanah ladang oleh kerajaan yang ada pada hari ini. Ketika itu, setiap kerajaan negeri satu persatu dengan niat ikhlas mengkhususkan penempatan peneroka dan memberikan tanah kerajaan negeri seluas mungkin bagi ayahanda kami berladang dan mencari rezeki. Ini termasuklah ayahanda Pengerusi ANAK sendiri yang berjaya menjadi peneroka di Felda Bukit Ramun.
Saya masih ingat bilamana ayahanda saya menoreh getah setiap hari dan menghantar hasil ke Pusat Pengumpulan Getah (PMG). Tiada langsung niat untuk membelakangkan Felda dengan menonjol hasil ke luar (combat) atau istilahnya menjual hasil ke pihak luar dan bukan Felda. Penjualan ini berterusan bagi menolak hutang Felda sehinggalah ayahanda saya menjelaskan sepenuhnya hutang Felda dengan tertibnya dan mendapat geran tanah sendiri. Lebih menggembirakan bilamana kerajaan melupuskan hutang-hutang kepada peneroka yang masih mempunyai baki hutang walhal rata-rata mereka ini 'rajin menonjol' ke luar. Sedikit pun ayahanda saya tidak bising dengan langkah Felda ini. Itulah serba sedikit hal tanah ladang seluas 10 ekar yang menjadi punca kepada keluarga kami keluar dari kepompong kemiskinan.
Kini, hasrat ANAK yang beria-ia hendak memberikan tanah kepada kami untuk apa? Apakah kami ini memang miskin atau tiada pekerjaan? Kenapa ingin memberi tanah Felda Plantations yang jika diracik-racik, setiap dari kami hanya bakal menerima satu ekar sahaja? Apa pula akan jadi dengan lebih 20,000 kakitangan Felda? Siapa pula yang akan menanggung beban pengurusan dan pentadbiran 317 tanah rancangan Felda? Majoriti kakitangan ini pula orang Melayu, sebangsa dan seagama dengan Pengerusi ANAK. Adakah kita ingin menabur pasir ke dalam periuk nasi mereka?
Saya ingin menyeru dan menasihatkan generasi baru Felda agar melihat momokan ANAK ini dengan kedua-dua belah mata dan hati yang terang. Mana mungkin kita boleh menjana pendapatan dengan tanah seluas satu ekar ini. Nak menanam apa? Nak bina rumah pula boleh tetapi sumber pendapatan di mana pula nak kami cari? Jika ANAK bercita-cita untuk membahagikan tanah kerajaan negeri seperti ayahanda kami dahulu, saya sokong seratus peratus.
Bagi kerajaan seperti Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang, bermulalah sekarang dengan memberikan kami tanah-tanah kerana kami ingin melihat keikhlasan kepimpinan ANAK, bukannya janji-janji politik. Fotostat borang berpuluh-puluh ribu namun akhirnya akan menjadi kertas lama. Kami sudah penat mengisi borang tanah. Kepada 70,000 orang yang dikatakan telah mengisi borang ini, saya ucapkan tahniah dan bolehlah berjumpa Menteri Besar dari negeri-negeri tadi bersama-sama Pengerusi ANAK dan tanyalah tanah-tanah yang boleh diberi kepada kita anak peneroka Felda. Itu lebih afdal.
Akhirnya, saya menyeru dan menasihatkan warga Felda seluruhnya agar sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah dan jangan sekali-kali kita ingkar perintahNya. Biarlah Mat Jenin terjun dengan labu-labunya dan kita wajib berpijak di bumi yang nyata. Jadilah kita generasi baru Felda yang matang berfikir dan membuat keputusan. Marilah kita berdoa agar kita sentiasa dipelihara iman dan amal semoga sentiasa mendapat redha dan berkat Allah.
MAN
Felda Jengka 7, Pahang.
Felda Jengka 7, Pahang.